Thursday, February 25, 2010

Sukan mekanisme banteras dadah

Sukan agen efektif banteras penagihan dadah

SUKAN yang membentuk kesihatan fizikal dan mental boleh digunakan untuk memerangi gejala dadah. Kita perlu mengakui kuasa sukan sebagai agen efektif membendung gejala itu. Dadah merosakkan fizikal dan minda. Sukan pula membuatkan seseorang kuat dan sihat. Penyalahgunaan dadah menjejaskan insentif, manakala sukan membina semangat untuk pencapaian terbaik. Sukan mampu membangunkan potensi remaja, membantu meningkatkan keupayaan kerja berkumpulan dan setia kawan yang membantu menghadapi cabaran.

Kerajaan perlu menyediakan lebih banyak kemudahan sukan dan rekreasi. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta kerajaan negeri perlu menyediakan kemudahan sukan mencukupi di bandar dan daerah untuk membantu meningkatkan kesihatan fizikal dan mental yang berpotensi menjauhi seseorang daripada dadah.

Jika masalah penyalahgunaan dadah remaja tidak ditangani, mereka akan gagal memberi sumbangan dan memainkan peranan sewajarnya dalam pembangunan negara. Ini adalah musibah.


Kempen pembasmian penyalahgunaan dadah perlu membabitkan seluruh masyarakat dan memberi lebih perhatian kepada remaja yang mudah terpengaruh dengan rakan sebaya.

Kepada remaja yang menjadi aset negara, jauhi dadah bukan saja untuk kebaikan anda tetapi demi masa hadapan negara. Strategi berkesan membebaskan negara daripada dadah menjelang 2015 perlu dibangunkan.

Oleh kerana kunci memerangi dadah adalah pencegahan, strategi pencegahan peringkat kebangsaan membabitkan keluarga, masyarakat dan tempat diperlukan untuk tujuan itu.

TAN SRI LEE LAM THYE,

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan

Jenayah Malaysia.

BH 25/2/2010


0 comments:

Post a Comment

Search