Saturday, February 27, 2010

Martabatkan Bola Sepak Negara

27 Februari, 2010 11:57 AM

Kementerian Pelajaran Komited Tingkatkan Martabat Bola Sepak Negara
By: Ramjit-->

SHAH ALAM, 27 Feb (Bernama) -- Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Kementerian Pelajaran komited dan akan meneruskan usaha bagi meningkatkan mutu bola sepak negara menerusi penganjuran liga bola sepak.
Timbalan Perdana Menteri berkata bagi memperkukuhkan program sukan bola sepak di sekolah, liga bola sepak Kementerian Pelajaran dianjurkan sejak 2008 lagi. "Sekolah sudah tentu mempunyai peranan dalam usaha membentuk pasukan bola sepak negara yang pada masa dahulu digeruni di peringkat Asia serta layak bertanding dalam dua Sukan Olimpik iaitu pada 1972 di Munich dan di Sukan Olimpik 1980 di Moscow, Rusia," kata Muhyiddin semasa berucap pada majlis pelancaran dan Sepak Mula Liga Bola Sepak KPM 2010 di Sekolah Kebangsaan Seksyen 9 di sini pada Sabtu.
Malaysia juga pernah memenangi pingat gangsa di Sukan Asia 1962 di Jakarta dan 1974 di Tehran, katanya. Selaras dengan itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata kementerian telah melaksanakan program sukan berprestasi tinggi di sekolah-sekolah, di mana bola sepak merupakan salah satu daripada tujuh sukan yang dimajukan mulai tahun 2008. Katanya liga bola sepak ini terdiri daripada Liga Piala Menteri Pelajaran untuk pemain bawah 14 tahun dan Liga Remaja KPM-FAM (Persatuan Bola sepak Malaysia) untuk pemain bawah 17 tahun yang sekarang telah memasuki tahun ketiga penganjurannya.
Liga ini memberi peluang kepada pemain bawah umur 14 dan 17 tahun dari 14 Sekolah Sukan Bola sepak Negeri dan Sekolah Sukan Malaysia menonjolkan bakat dan mendapat pendedahan awal melalui persaingan dalam liga ini, katanya.Antara sekolah sukan bola sepak negeri yang menyertai liga ini ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Hassan Kangar, SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman Jitra, SMK Seksyen 11 Shah Alam, SMK Tinggi Melaka, SMK Clifford Kuala Kangsar, SMK Seberang Temerloh, SMK Bukit Nenas, Setiu, SMK Putera Kota Baharu dan SMK Keningau II Sabah. Muhyiddin berkata liga ini akan dibahagikan kepada dua kumpulan dan melibatkan 103 perlawanan bagi setiap kategori umur selama enam bulan mulai Mac ini dan dijangka berakhir pada Ogos tahun ini.
Liga KPM ini secara tidak langsung akan menyediakan pemain-pemain di peringkat persekolahan untuk mewakili pasukan negeri dan bertanding dalam kejohanan di peringkat yang lebih tinggi anjuran FAM, katanya. "Di bawah program ini sebanyak 30 pusat latihan daerah, 14 buah sekolah sukan bola sepak negeri ditubuhkan di samping dua buah sekolah sukan Malaysia yang menjadi pusat kecemerlangan sukan bagi pemain-pemain elit sekolah," katanya.
Program sukan berprestasi tinggi ini dikendalikan oleh 160 jurulatih yang mengandungi 1,450 orang pemain yang terdiri daripada kalangan pelajar sekolah yang berumur di antara 13 hingga 17 tahun, katanya. "Saya sedar dalam usaha untuk mengembalikan semula kegemilangan Sukan di sekolah... pasti menghadapi banyak kekangan seperti kemudahan padang, peralatan dan prasarana sukan yang lain," katanya.
Justeru, beliau berkata dalam Rancangan Malaysia Kesembilan, kementerian telah menyediakan peruntukan sebanyak RM1.5 juta untuk negeri Selangor sahaja bagi pembekalan peralatan sukan, di mana RM83,900 dikhaskan untuk Parlimen Shah Alam. "Bagi program penambahbaikan prasarana sukan, sejumlah RM9.5 juta telah diperuntukkan bagi negeri Selangor dan Parlimen Shah Alam telah mendapat RM280,000 bagi menyediakan Gelanggang Serbaguna Berbumbung di SMK Seksyen 7 Shah Alam," katanya.
Pada tahun ini, Muhyiddin berkata seramai 800 murid layak menerima skim biasiswa sukan di bawah kementerian dengan kadar RM70 sebulan.
Pada majlis itu, Muhyiddin sempat meluangkan masa membuat sepak mula sebagai simbolik permulaan liga bola sepak KPM sebelum menyaksikan perlawanan Piasa Sumbangsih liga itu di antara SMK Seksyen 11 Shah Alam dengan SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman Jitra.Perlawanan di bawah kategori 14 tahun berakhir dengan SMK Tunku Anum menewaskan SMK Seksyen 11 dengan jaringan 2-1.-- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Search